11 Khasiat Buah Kurma
Buah kurma merupakan antara makanan terbaik di dunia dan juga makanan kegemaran Rasulullah SAW. Antara khasiat buah kurma ialah memberi tenaga untuk tubuh. Banyak lagi khasiat yang baik untuk tubuh badan kita.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW dan Sahabat Baginda SAW, ada di antara Sahabat yang berniaga. Dan antara barang yang diniagakan ialah buah kurma.
Mengapa buah kurma begitu istimewa pada manusia? Ia bukanlah suatu kebetulan. Tetapi kerana khasiat yang ada pada buah kurma.
Hari ni saya kongsikan 11 khasiat buah kurma.
Khasiat Buah Kurma
1. Menambahkan tenaga.
Buah kurma dipercayai mampu membekalkan tenaga dengan cepat untuk tubuh. Ia mempunyai vitamin C yang boleh membekalkan tenaga.
Pada bulan puasa, Rasulullah SAW menggalakkan kita untuk berbuka dengan memakan buah kurma terlebih dahulu.
Sabda Baginda SAW yang bermaksud:-
“Apabila seseorang daripada kamu berbuka puasa, maka berbukalah dengan buah kurma. Sekiranya tiada kurma, maka minumlah air kerana ia adalah suci.” (HR at-Tirmizi, no. 594)
Ini menunjukkan bukti bahawa kurma dapat memberi tenaga yang cepat kepada tubuh setelah seharian berpuasa. Kita dapat mencontohi Baginda SAW yang hanya berbuka dengan memakan buah kurma.
2. Menguatkan daya ingatan.
Buah kurma dikatakan mampu menguatkan memori seseorang. Ia menambahkan kecekapan daya ingatan.
3. Membantu proses pencernaan.
Buah kurma mampu membantu pencernaan kerana didalamnya ada nutrisi seperti serat yang penting dalam proses pencernaan.
4. Kekuatan tulang.
Kandungan mineral yang tinggi pada buah kurma mampu menambah kekuatan pada tulang seseorang. Buah kurma mengandungi kalsium, fosfor, dan vitamin A.
5. Mengurangkan alergi.
Yang menariknya buah kurma ada kandungan sulfur organik yang dapat mengurangkan alergi pada diri seseorang.
6. Memelihara berat badan.
Jika kurma dimakan dengan kadar yang betul, berat badan akan terjaga. Kadar nutrisi dalam kurma cukup untuk keperluan harian manusia.
Setiap rumah penghuni Muslim digalakkan supaya mempunyai simpanan kurma di dalam rumah. Rumah yang didalamnya mempunyai kurma tidak akan kelaparan.
Dalam satu hadith Nabi SAW bersabda,
“Wahai Aishah, mana-mana rumah yang tidak ada kurma, maka penghuninya akan lapar.”
Baginda SAW mengulanginya sebanyak dua atau tiga kali. (Rujukan: HR Muslim, no. 3812)
7. Kesihatan jantung.
Antara khasiat buah kurma yang istimewa ialah buah kurma baik untuk jantung.
Kurma mempunyai kandungan potassium yang tinggi untuk mengurangkan risiko stroke dan penyakit yang berkaitan dengan jantung. Buah kurma juga mempunyai magnesium dan tembaga untuk kesihatan jantung.
8. Meningkatkan stamina seksual.
Tak kurang dari itu, kurma juga baik untuk tenaga dalaman manusia. Ia dapat meningkatkan stamina kepada tubuh manusia.
Cara yang disarankan ialah dengan membuat minuman. Kandungan kurma dicampur dengan susu kambing dan madu.
Biarkan semalaman. Campuran tersebut akan menjadi minuman yang sangat bermanfaat untuk kekuatan daya tahan seksual.
9. Mencegah kerosakan gigi
Kurma dapat mencegah dari kerosakan gigi kerana buah kurma mempunyai florin.
Fluorida ialah suatu sumber mineral yang banyak digunakan dalam pembuatan ubat gigi zaman kini. Ia dapat membantu menguatkan gigi dengan adanya fluorida dalam ubat gigi.
Tersangat baik jika selalu mengamalkan buah kurma. Tak perlu risau dengan manisan yang ada pada buah kurma!
10. Melancarkan sistem saraf.
Kandungan nutrisi kurma baik untuk sistem saraf seseorang. Ia mampu melancarkan perjalanan darah.
Jika kita amalkan pemakanan buah kurma secara konsisten, ia dapat membantu melancarkan sistem saraf kerana buah kurma mengandungi vitamin B1 yang baik untuk sistem saraf.
Allah SWT telah mengisyaratkan perkara ini dalam kisah kelahiran Nabi Isa AS, apabila Siti Maryam diperintahkan memakan kurma ketika dalam proses melahirkan Baginda Isa AS.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:-“Dan goyanglah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan mengugurkan buah kurma yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu.” Surah Maryam 19:25-26
11. Menjaga kesihatan mata.
Mata adalah organ yang sangat bernilai. Buah kurma dipercayai mampu memberi kesihatan kepada mata jika kita selalu memakan buah kurma kerana buah kurma mengandungi vitamin A yang baik untuk mata.
Buah kurma boleh diamalkan sepanjang tahun, bukan hanya pada bulan Ramadhan. Lazimnya di Malaysia, kita hanya memakan kurma pada bulan Ramadhan.
Jom jadikan buah kurma sebagai makanan harian kita! Salah satu cara mengamalkannya ialah memakan buah kurma dengan bilangan ganjil 3, 5, 7, 9 atau 11 dan dimakan pada pagi hari.
Semoga anda mendapat manfaat dari perkongsian ini.
Dapatkan lebih banyak perkongsian di laman Laman Jaya Sunnah.
Wallahua’alam.